KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan laporan sebuah laman media sosial berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan kerjasama politik dengan PAS atau Pakatan Harapan (PH)
Beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan laman berkenaan menerusi poster bertajuk ‘Tiada PRN dan tiada gabungan dengan PAS, MB Pahang tegas bersama PH’.
“Berita ini salah! Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Wan Rosdy menegaskan bahawa laporan yang disiarkan laman media sosial berkenaan adalah salah dan tidak benar sama sekali.
Beliau turut mengemukakan petikan Hansard DUN Pahang bagi menjelaskan kenyataan sebenar beliau ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim bertanya sama ada terdapat perancangan untuk membubarkan DUN Pahang.
“Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, setakat ini belum ada apa-apa perancangan. Setakat hari ini…” demikian jawapan Wan Rosdy sebagaimana petikan Hansard yang dikongsikannya.
Susulan itu, Wan Rosdy meminta laman media sosial berkenaan segera menurunkan laporan tersebut serta membuat pembetulan terhadap apa yang dilaporkan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wan Rosdy Wan Ismail


