KUALA LUMPUR – Pengasas Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen untuk parti BERSATU di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Beliau mendakwa, walaupun pertandingan di kerusi berkenaan melibatkan BERSAMA, BERSATU dan Barisan Nasional (BN), PH dan Anwar turut berkempen supaya pengundi memberikan undi kepada BERSATU.
“Tapi PH dan Datuk Seri Anwar berkempen untuk BERSATU tau,” katanya dalam satu podcast yang dimuat naik di akaun media sosial beliau.
Rafizi turut mendakwa beberapa anggota tentera memberitahunya bahawa beliau tidak akan dibenarkan masuk berkempen ketika berada di Sungai Udang.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, Anwar telah masuk berkempen dan meminta pengundi memberikan undi kepada BERSATU.
“Tapi Datuk Seri Anwar dah masuk berkempen suruh bagi undi kepada BERSATU,” katanya.
Justeru, beliau menolak tanggapan bahawa BERSAMA mendapat sokongan di Sungai Udang dan Bemban semata-mata kerana PH tidak bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.
“Sebab PH berkempen separuh mati suruh bagi kepada BERSATU,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Podcast: Akaun Media Sosial Rafizi Ramli


