PERAI – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow terkejut dengan tahap kepuasan hati masyarakat Melayu terhadap Kerajaan Persekutuan yang didakwa mencecah 67 peratus, manakala kerajaan Pulau Pinang pula mencatatkan 74 peratus.
Memetik laporan sebuah portal berita, beliau dipetik berkata, keputusan itu diperoleh menerusi Kajian Kepuasan Hati Rakyat Jelata (Penang Satisfaction Survey) yang dijalankan Penang Institute tahun ini membabitkan 1,686 responden.
“Keputusan bagi orang Melayu pula amat mengejutkan apabila paras kepuasan mencecah 74 peratus kepada negeri dan 67 peratus kepada Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026 DAP Pulau Pinang di Perai semalam.
Menurutnya, secara keseluruhan, kajian itu menunjukkan tahap kepuasan terhadap kerajaan negeri mencapai 70.8 peratus, dengan masyarakat India mencatatkan kadar tertinggi sebanyak 82 peratus, diikuti Melayu (74 peratus) dan Cina (66 peratus).
Bagi Kerajaan Persekutuan pula, tahap kepuasan keseluruhan adalah 59.6 peratus, dengan masyarakat Melayu merekodkan 67 peratus, India (62 peratus) dan Cina (51 peratus).
Kon Yeow turut meminta perhatian diberikan terhadap tahap kepuasan masyarakat Cina yang mencatatkan 66 peratus kepada kerajaan negeri, tetapi hanya 51 peratus kepada Kerajaan Persekutuan.
Kajian sama mendapati golongan muda berusia 15 hingga 24 tahun mencatatkan kepuasan tinggi, masing-masing 86 peratus terhadap kerajaan negeri dan 82 peratus kepada Persekutuan.
Sebaliknya, golongan berusia 60 hingga 74 tahun merekodkan 72 peratus kepada negeri, tetapi hanya 43 peratus kepada Persekutuan.
“Saya rasa seburuk-buruknya rekod saya sebagai Ketua Menteri, saya dan pasukan saya tidak akan membenarkan kerajaan Pulau Pinang kalah dalam pilihan raya yang akan datang,” tegasnya. – MYNEWSHUB


