KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki tampil memohon maaf kepada penyanyi Aina Abdul susulan gurauannya ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang mencetuskan kecaman netizen.
Menerusi hantaran di media sosial, Afdlin menjelaskan beliau sebenarnya peminat Aina dan mengagumi keberanian penyanyi itu bereksperimen dengan fesyen sehingga berjaya membina identiti tersendiri.
“Abang memang peminat Aina Abdul. Abang ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang.
“Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul.’ Itu namanya branding yang menjadi,” katanya.
Menurut Afdlin, gurauan pada malam berkenaan merujuk kepada saiz busana dan kemungkinan menghalang pandangan kamera sekiranya dipakai penonton di barisan hadapan, bukan bertujuan menghina bentuk badan Aina.
Beliau yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa turut mengakui pernah menerima komen mengenai tubuh badannya sendiri dan memahami perasaan individu yang dijadikan bahan jenaka.
“Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina. Abang memang big fan, dan insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti,” katanya.
Afdlin turut mengakui cara masyarakat menerima gurauan kini sudah berubah berbanding ketika beliau mula mengacara dahulu.
Terdahulu, media melaporkan Afdlin dikecam netizen terutama peminat Aina selepas berseloroh meminta individu yang memakai busana seperti penyanyi itu duduk di belakang dewan kerana bimbang menghalang pandangan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Afdlin Shauki


