KUALA LUMPUR – Anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), LK PLM (PKL) Nazrol Hakim Che Sharuji mencipta kejayaan membanggakan apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam kejohanan IRONMAN Malaysia Langkawi 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Nazrol Hakim mencatat masa 9 jam 57 minit, sekali gus mengatasi rekod terdahulu 10 jam 40 minit 56 saat yang dilakukan Shahrom Abdullah pada 2022.
Menurut beliau, kejayaan itu turut menyaksikan anggota PASKAL berkenaan menduduki tempat kesembilan keseluruhan selain muncul naib juara bagi kategori umur 30 hingga 34 tahun.
“Tahniah kepada LK PLM (PKL) Nazrol Hakim bin Che Sharuji, anggota elit PASKAL TLDM yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan IRONMAN Malaysia Langkawi 2026,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada kesemua 11 atlet TLDM yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.
Beliau berkata, jumlah itu merupakan penyertaan terbesar dalam sejarah TLDM bagi kejohanan tersebut.
Menurutnya, pencapaian berkenaan membuktikan tahap disiplin, ketahanan fizikal dan kekuatan mental warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu menyerlah di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini membuktikan disiplin, ketahanan fizikal dan kekuatan mental warga ATM mampu menyerlah di pentas antarabangsa.
“Teruskan kecemerlangan dan harumkan nama negara!” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Khaled Nordin


