JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan meluangkan masa bersama pasukan JDT Racing pada Ahad, 22 November 2026.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran akaun media sosial rasmi HRH Crown Prince of Johor yang turut disertakan dengan ungkapan “Allah Peliharakan Sultan”
Pertemuan tersebut berlangsung ketika JDT Racing terus memperkukuh kedudukannya dalam arena sukan permotoran selepas mencatat kejayaan membanggakan di peringkat Asia.
Untuk rekod, JDT Racing merupakan pasukan sukan permotoran di bawah jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mula menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim 2024.
Pasukan itu mempertaruhkan pelumba terkenal negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang pernah beraksi dalam Kejuaraan Dunia MotoGP.
Penubuhan JDT Racing juga mencerminkan usaha memperluas pengaruh jenama JDT melangkaui arena bola sepak.
Pada musim 2026, JDT Racing mencatat kejayaan membanggakan apabila merangkul dua gelaran keseluruhan, iaitu kejuaraan pelumba dan pasukan dalam kategori Asia Superbike 1000 (ASB1000) pada saingan ARRC.
Kejayaan tersebut turut disusuli usaha pembangunan bakat muda menerusi JDT Racing Academy.
Akademi berkenaan memperkenalkan dua pelumba muda Johor yang dijadual beraksi dalam kategori WIRA pada pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Bandar Medini Iskandar pada 21 dan 22 November 2026.
Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh pembangunan sukan permotoran Johor selain menyediakan peluang kepada pelumba muda tempatan untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi. – MYNEWSHUB


