KUALA LUMPUR – Peguam, Dr Shamsher Singh Thind berpandangan bahawa masyarakat Cina tidak wajar lagi memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH), sebaliknya mempertimbangkan calon daripada MCA atau Gerakan.
Menerusi hantaran di media sosial semalam, beliau berkata, kemenangan DAP dalam pilihan raya tidak semestinya menjamin parti itu dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan sekiranya PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalami kekalahan.
“Adalah tidak wajar lagi untuk orang Cina mengundi PH. Kenapa? Sebab DAP, jika menang sekalipun tetapi PKR dan PAN kalah, hanya berpotensi untuk menjadi pembangkang sahaja,” katanya.
Shamsher turut berpandangan bahawa berdasarkan komposisi penduduk Melayu di Malaysia, PAS dan UMNO mempunyai kemungkinan besar untuk membentuk kerajaan.
“Mengambil kira bilangan orang Melayu di Malaysia, adalah hampir pasti PAS dan UMNO akan membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau kemudian mempersoalkan sejauh mana DAP mampu memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina sekiranya parti itu hanya berada di blok pembangkang.
“Soalan saya kepada orang Cina, apa yang DAP boleh buat untuk kamu sebagai pembangkang?Kita dah nampak, sebagai kerajaan pun, DAP seperti ayam berak kapur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan masyarakat Cina memberikan sokongan kepada calon MCA atau Gerakan yang menurutnya berpotensi mempunyai wakil dalam Kabinet.
“Oleh itu, undilah calon-calon Cina MCA atau Gerakan yang walaupun tak bersuara lantang tetapi sekurang-kurangnya boleh hadir dan bercakap bagi pihak kamu di dalam kabinet,” katanya.
Pada akhir hantaran, Shamsher turut memetik pepatah Punjabi, “khassi ghora khote naalon changga”, yang membawa maksud kuda yang dimandulkan lebih berguna daripada keldai. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. SHAMSHER SINGH THIND


