KUALA LUMPUR – Dua perwakilan Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) disingkirkan daripada Kerajaan Perpaduan, sambil mempersoalkan kewajaran Pakatan Harapan (PH) terus bekerjasama dengan gabungan berkenaan.
Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ir Hayatul Kamil mendakwa bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berpesan supaya tidak memberikan ‘tongkat’ kepada UMNO.
Beliau nendakwa, PH sebelum ini sudah memberikan tongkat kepada BN, namun bimbang bantuan tersebut akhirnya digunakan untuk menyerang gabungan berkenaan.
“Kita sudah beri tongkat kepada BN. Kalau dibiarkan, tongkat itu akan digunakan untuk memukul Pakatan Harapan. Sudah tiba masanya kita ambil balik tongkat itu dan gunakan untuk memukul BN!” katanya pada Konvensyen Nasional AMANAH 2026.
Sementara itu, wakil AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Abdul Latif A. Tambi menyuarakan gesaan lebih tegas supaya UMNO dan BN dipisahkan daripada Kerajaan Perpaduan.
“UMNO dan BN perlu dinyahkan dan dipisahkan daripada Kerajaan Perpaduan” tegasnya.
Abdul Latif turut mempersoalkan sampai bila kerjasama politik tersebut perlu diteruskan sekiranya AMANAH dan sekutunya terus merasakan diri dipermainkan serta diambil kesempatan.
“Sampai bila kita mahu bertahan? Sampai bila kita terus dipermainkan dan diambil kesempatan?” soalnya.
Kenyataan kedua-dua perwakilan itu memperlihatkan wujudnya suara yang mempertikaikan kerjasama dengan UMNO dan BN dalam kalangan perwakilan AMANAH pada konvensyen berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Parti Amanah Negara


