MELAKA – Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka susulan hantaran beliau sebelum ini berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu pada setiap hari Jumaat.
Beliau mengakui terdapat kelemahan dalam cara menyampaikan pandangannya sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan dan mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
“Saya mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam cara saya menyampaikan pandangan tersebut.
“Pemilihan kata-kata dan nada hantaran berkenaan telah menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam,” dakwanya menerusi kenyataan di media sosial.
Poay Tiong berkata, beliau amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam menunaikan tuntutan agama masing-masing.
Katanya, beliau sama sekali tidak berniat mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah berkenaan.
Beliau turut mengakui bahawa sebagai wakil rakyat dan pemimpin, dirinya sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif ketika mengeluarkan pandangan, khususnya membabitkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
“Saya menerima teguran dan kritikan yang telah diberikan dengan hati terbuka. Saya juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut,” katanya.
Beliau turut berjanji mengambil iktibar daripada kejadian itu dan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa hadapan: “Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan” – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Khoo Poay Tiong


