SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hassan menyarankan UMNO membantu penganalisis politik dan pempengaruh media sosial, Datuk Eric See-To atau lebih dikenali sebagai Lim Sian See.
Menurut Azrul, baru-baru ini Eric Lim turut ditahan dan memberi keterangan selama empat jam berhubung isu ‘Jangan Lupa Makan Ubat’.
Beliau berkata, difahamkan Eric Lim tidak lagi mahu aktif di media sosial kerana merasakan dirinya tidak mendapat sokongan UMNO dan turut menegaskan PAS lebih banyak memberikan sokongan kepadanya.
“UMNO ada ramai peguam yang hebat-hebat dan saya sarankan supaya UMNO bantulah Datuk Eric atas jasa dan semangatnya sebelum ini,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Azrul turut berkongsi pengalamannya sendiri apabila mendakwa empat ahli UMNO daripada kumpulan ‘Kami UMNO’ pernah membuat laporan polis terhadapnya hampir dua tahun lalu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu 3R.
Menurutnya, siasatan dijalankan sebelum Timbalan Pendakwa Raya membuat keputusan yang memihak kepadanya, manakala telefon bimbitnya dipulangkan empat bulan selepas siasatan.
“Namun, perlukah saya merajuk dan tinggalkan UMNO hanya kerana orang UMNO menzalimi saya?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus menulis dan menghasilkan video memperjuangkan UMNO.
“UMNO sebagai parti langsung tidak bersalah dalam hal ini,” katanya.
Azrul turut mengingatkan agar tindakan segelintir individu dalam UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak melemahkan semangat perjuangan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hassan


