ISKANDAR PUTERI – Belanjawan Johor 2027 yang bertemakan “Johor Maju, Rakyat Sejahtera” dijangka mencatat lebihan RM2.328 juta dengan menggariskan 284 tekad berlandaskan Enam Teras Maju Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan yang dibentangkan di Dewan Negeri Johor itu mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM3.077 bilion berbanding perbelanjaan RM3.075 bilion.
Menurutnya, belanjawan surplus itu bertujuan memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup seluruh Bangsa Johor.
“Pertumbuhan hasil negeri memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk membantu lebih ramai yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran media sosial hari ini.
Beliau berkata, Bantuan Kasih Johor akan diteruskan dengan memberi perhatian kepada keluarga miskin, anak yatim, orang kurang upaya dan ibu tunggal.
Selain itu, Jualan Kasih Johor akan diperluas daripada 336 kepada 748 lokasi bagi membolehkan lebih ramai keluarga mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan berhampiran kediaman masing-masing.
Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri turut merancang memperluas akses kepada perumahan mampu milik, menambah baik kemudahan awam dan perkhidmatan kesihatan serta memperkukuh latihan kemahiran mengikut keperluan industri.
“Saya mahu pertumbuhan ekonomi Johor membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk membina kerjaya bergaji lebih baik di negeri sendiri, dan kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Kerajaan Negeri serta semua pihak yang menyumbang kepada penyediaan belanjawan berkenaan.
Onn Hafiz berharap segala usaha menuju Johor Maju 2030 mendapat keberkatan Allah SWT serta membawa kesejahteraan kepada seluruh Bangsa Johor. – MYNEWSHUB


