KUALA LUMPUR – Malaysia dan Perancis membincangkan beberapa cadangan kerjasama pertahanan termasuk perolehan helikopter Combat Search and Rescue (CSAR), sistem meriam 105 milimeter (mm), penilaian pesawat pejuang Rafale serta keperluan kapal selam pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Angkatan Tentera dan Hal Ehwal Veteran Perancis, Catherine Vautrin di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pertemuan berkenaan diadakan selepas selesai program di Bangunan Sultan Abdul Samad.
“Pertemuan ini membincangkan beberapa cadangan kerjasama pertahanan kedua-dua negara, termasuk perolehan helikopter CSAR, sistem meriam 105mm, penilaian pesawat pejuang Rafale serta perancangan keperluan kapal selam pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohamed Khaled berkata, kedua-dua negara turut membincangkan cadangan kerjasama sokongan logistik dan usaha pemodenan aset pertahanan sedia ada.
Katanya, perbincangan itu turut merangkumi penglibatan industri pertahanan tempatan melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran.
Selain itu, Malaysia dan Perancis bersetuju meningkatkan hubungan kerjasama pertahanan menerusi sesi libat urus secara berkala di peringkat menteri kedua-dua negara.
“Kami juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pertahanan melalui sesi libat urus secara berkala di peringkat Menteri antara kedua-dua negara,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Khaled Nordin


