KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memandang serius perkembangan berhubung peletakan jawatan Menteri Pengangkutan serta ketidaktentuan peralihan kepimpinan di kementerian berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebarang perubahan kepimpinan politik tidak boleh melumpuhkan proses membuat keputusan atau menjejaskan pelaksanaan projek kritikal sektor penerbangan negara.
Menurutnya, platform utama penyelarasan dasar dan pemantauan projek penerbangan termasuk National Aviation Consultative Council (NACC) dan National Airport Facilitation Committee (NAFC) dipengerusikan secara langsung oleh Menteri Pengangkutan.
Beliau berkata, setiap cadangan pembangunan lapangan terbang juga memerlukan pertimbangan menteri sebelum diangkat melalui Memorandum Jemaah Menteri (MJM).
“PAC menegaskan bahawa sebarang perubahan atau peralihan kepimpinan politik tidak boleh sama sekali melumpuhkan proses membuat keputusan, melengahkan agenda transformasi operasi MAHB pasca-penswastaan, mahupun menjejaskan jadual pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, Mas Ermieyati menegaskan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) selaku Pegawai Pengawal bersama Jemaah Menteri wajib memastikan kelangsungan tadbir urus kementerian berjalan lancar tanpa gangguan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 November menjelaskan beliau belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke walaupun sudah menerima surat rasmi berkenaan, sebaliknya mahu meneliti perkara itu terlebih dahulu dan mengadakan rundingan semula. – MYNEWSHUB


