MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa seruan penyatuan ummah digunakan untuk menunggang agama demi mempertahankan kepimpinan bobrok serta sistem usang yang merosakkan negara.
Beliau malah mendakwa, sejak beberapa hari lalu wajah sebenar seruan penyatuan ummah semakin terserlah apabila agama dijadikan alat untuk mempertahankan kepentingan pihak tertentu.
“Sejak beberapa hari ini, terserlah wajah sebenar seruan penyatuan ummah yang digunakan untuk menunggang agama bagi mempertahankan pimpinan bobrok serta sistem usang yang telah merosakkan sendi-sendi negara,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai kenyataan beliau ‘sejak beberapa hari lalu’ tersebut.
Anwar berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas mengakhiri kunjungannya ke Melaka semalam di Alor Gajah bagi memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Asahan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menolak sebarang bentuk hasutan perkauman yang boleh menyemai kebencian antara masyarakat.
Anwar turut membangkitkan beban kewangan negara puluhan bilion ringgit setiap tahun akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta masalah membabitkan FELDA dan Tabung Haji.
Beliau mendakwa, PH kini sedang berusaha keras untuk memulihkan negara daripada pelbagai masalah yang diwarisi.
Dalam pada itu, Anwar yakin rakyat Melaka mampu membuat penilaian bijak terhadap pihak yang benar-benar menjaga amanah berbanding mereka yang mengkhianatinya.
“Saya percaya rakyat Melaka mampu menilai antara kaca dengan permata, antara yang mengkhianati amanah dengan yang menjaganya.
“Rakyat tahu siapa yang mahu berkuasa untuk mengkayakan diri dan siapa yang ikhlas berkhidmat untuk mereka,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


