MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keadaan zaman ini sebagai semakin tidak masuk akal apabila golongan jujur dihina dan dicerca, sedangkan individu korup pula disanjung serta dimuliakan.
“Betapa gilanya zaman ini apabila orang yang jujur dihina dan dicerca, manakala mereka yang korup disanjung dan dimuliakan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, perkara itu dibangkitkannya ketika berkempen di Ayer Molek, Melaka malam tadi dengan mengajak hadirin merenung teguran pujangga Jawa, Ronggowarsito mengenai ‘zaman edan’ tersebut.
Menurutnya, rakyat Melaka mahukan pemimpin yang berani menolak rasuah serta menjaga amanah rakyat.
Dalam hantaran berasingan mengenai kempen di Bukit Baru, Anwar turut mengkritik PAS dan UMNO yang didakwanya terus memainkan sentimen kebencian terhadap DAP atas alasan mempertahankan orang Melayu.
“PAS dan UMNO terus meniupkan kebencian terhadap DAP atas nama menjaga Melayu. Masalahnya yang sudah puluhan tahun memegang kuasa itu kamu. Kenapa tak jaga Melayu?” soalnya.
Perdana Menteri turut mempersoalkan pihak yang beliau dakwa bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB serta masalah yang pernah melanda Tabung Haji dan FELDA.
Justeru, Anwar yakin pengundi Melaka berani menghukum pemimpin yang mengkhianati amanah tanpa mengira parti atau bangsa. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


