SELEPAS Johor dan Negeri Sembilan memperlihatkan kelebihan persefahaman politik Melayu, kini giliran Melaka membuktikan bahawa agenda penyatuan ummah bukan lagi sekadar impian.
Keputusan dua PRN sebelum ini sepatutnya membuka mata kelompok yang masih skeptikal dan memperlekeh potensi penyatuan politik Melayu.
Kemenangan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, 14 November ini, mampu menjadi bukti paling jelas bahawa penyatuan ummah bukan sesuatu yang mustahil.
Sudah terlalu lama politik Melayu dibelenggu perpecahan. Pemimpin bertelagah, penyokong bermusuhan, sedangkan masyarakat Melayu semakin letih menyaksikan pertelingkahan.
Penyatuan ummah bukan bermaksud mahu bermusuh dengan kaum lain. Hak semua dihormati. Apa yang diharapkan hanyalah kesediaan pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan demi kepentingan bersama.
Namun, realiti politik perlu diterima. Ada segelintir individu yang terlalu dibelenggu ego, perangai dan kepentingan sendiri sehingga sukar menerima semangat kerjasama.
Jangan kerana segelintir individu sedemikian, cita-cita besar penyatuan ummah akhirnya terkubur.
PRN Melaka menjadi medan penting menguji sejauh mana kerjasama BN-PN mampu diterjemahkan kepada kemenangan.
Setiap undi mempunyai nilai. Dalam pertandingan sengit, satu undi yang terlepas juga boleh menjadi penentu kekalahan. Pengundi di luar kawasan pula tidak boleh memandang ringan peranan mereka.
Jika kerjasama ini gagal, sudah tentu ia mengecewakan mereka yang sekian lama mengharapkan penyatuan politik Melayu menjadi kenyataan.
Sebaliknya, kemenangan BN-PN mampu menutup keraguan bahawa dua parti terbesar orang Melayu sebenarnya boleh bekerjasama demi matlamat bersama.
Bagaimanapun, penyatuan sebenar mesti diteruskan selepas pilihan raya demi kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan kesejahteraan rakyat.
Melaka kini berpeluang membuktikan bahawa penyatuan ummah bukan mustahil jika semua pihak benar-benar mahu menjayakannya. – MYNEWSHUB


