MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyindir pihak tertentu yang didakwanya tidak senang melihat beliau mendekati masyarakat, termasuk ketika menikmati cekodok, rojak dan makan bersama seorang wanita yang dipanggilnya sebagai ‘amma’.
Muhamad Akmal yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berkata, tindakan beliau itu nampaknya mengundang rasa kurang senang pihak tertentu.
“Kesian panas betul mereka bila saya datang dan makan dengan amma.
“Sebelum ini dengan cekodok dan rojak mereka kepanasan, kali ini dengan amma pula,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Muhamad Akmal, hubungannya dengan wanita berkenaan serta keluarganya sudah terjalin sejak sekian lama, malah sebelum beliau bergelar wakil rakyat.
Beliau turut menegaskan kunjungannya ke rumah wanita itu bukan hanya dilakukan ketika sambutan Deepavali, sebaliknya sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu.
“Untuk makluman mereka yang kepanasan, ini bukan kali pertama saya makan dengan amma. Boleh tengok ada bukti video di Facebook sebelum ini lagi dah,” katanya.
Muhamad Akmal pada masa sama menempelak pihak yang didakwanya cuba menyamakan pendekatan beliau dengan pemimpin lain yang hanya mendekati rakyat ketika musim pilihan raya.
“Pemimpin kamu mungkin berlakon bila nak tiba pilihan raya, tetapi bukan saya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk Merlimau sendiri memberikan pandangan sama ada pendekatannya mendekati masyarakat hanya dilakukan ketika pilihan raya atau sudah menjadi amalan sejak dahulu.
Katanya, komen penduduk setempat boleh menjadi jawapan kepada pihak yang mempertikaikan keikhlasan beliau.
“Kalau kita tidak mampu buat kebaikan, jangan halang orang berbuat kebaikan. Panas tidak mengapa, tapi jangan koyak,” katanya. – MYNEWSHUB


