MELAKA – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membangkitkan beberapa isu yang memberi kesan kepada rakyat termasuk pengurangan kelas bahasa ibunda di sekolah rendah, kenaikan tarif elektrik, perubahan kuota subsidi petrol serta beban cukai yang semakin meningkat terhadap sektor perniagaan ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, perkara itu antara isu yang diketengahkan dalam ucapannya ketika menghadiri dua program kempen Barisan Nasional (BN) di Machap Baru dan Kampung Baru Machap Umboo bagi membantu calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.
Menurutnya, kedua-dua perjumpaan berkenaan mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat, sekali gus menunjukkan sokongan padu terhadap calon berkenaan.
“Dalam ucapan, saya menyentuh isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia, termasuk pengurangan kelas bahasa ibunda di sekolah rendah, kenaikan tarif elektrik, perubahan kuota subsidi petrol, serta beban cukai yang semakin meningkat terhadap sektor perniagaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Ka Siong turut mengetengahkan rekod perkhidmatan Hee Sem yang disifatkannya aktif turun padang sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya dan EXCO Kerajaan Negeri.
Katanya, Hee Sem sering memantau sendiri pelaksanaan projek infrastruktur, menangani keperluan komuniti serta membantu penduduk menyelesaikan pelbagai masalah setempat.
Beliau turut menyifatkan Hee Sem sebagai calon yang berani menyuarakan kebenaran dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Machap Jaya memerlukan seorang wakil yang berani menyatakan kebenaran dan memperjuangkan nasib rakyat. Insan itu ialah Ngwe Hee Sem!” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


