JOHOR BAHRU – Naib Ketua Wanita AMANAH Johor, Elia Nadira Sabudin mempersoalkan sikap orang Melayu yang bersedih apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak dibenarkan pulang untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau mengingatkan bahawa Najib dipenjarakan selepas didapati bersalah dalam kes membabitkan penyelewengan dana.
“Orang Melayu bersedih Najib tak balik tahanan di rumah. Najib tu berdosa kepada seluruh rakyat Malaysia. Dia di penjara sebab makan duit rakyat. Orang Melayu anda sedar ke tak ni?” dakwanya.
Dakwaan itu dibuat susulan perkembangan terbaharu berhubung pelaksanaan titah pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Najib menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara pada 6 November lalu memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib perlu ditangguhkan sementara menyebabkan Najib kekal di Penjara Kajang walaupun pembayaran denda RM50 juta telah diselesaikan.
Dalam hantaran berasingan, beliau mendakwa, tuan guru berpesan tiada kepimpinan yang sempurna dan jangan tukar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin yang sakau, membawa politik perkauman, kebencian serta adu domba. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Elia Nadira Sabudin


