KUALA LUMPUR – Peguam yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berpandangan bahawa perintah mahkamah untuk melepaskan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak daripada penjara bagi menjalani tahanan rumah tidak mempunyai sebarang kekeliruan sehingga memerlukan pelaksanaannya ditangguhkan.
Menurutnya, penggunaan perkataan “discharge” dalam perintah berkenaan tidak bermaksud seseorang tertuduh dilepas dan dibebaskan, sebaliknya merujuk kepada pelepasan daripada tahanan.
Beliau menjelaskan, perkataan itu sememangnya digunakan dalam Borang 16 dan 40 di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), termasuk bersama istilah “forthwith” yang membawa maksud pelaksanaan serta-merta.
Yusfarizal berkata, situasi membabitkan Najib namun adalah luar biasa kerana pelepasannya selepas pembayaran denda turut tertakluk kepada Pengampunan Bersyarat.
Menurutnya, KTJ mungkin tidak menyediakan borang khusus bagi keadaan sedemikian, namun Seksyen 443 membenarkan pengubahsuaian borang sedia ada.
Beliau menjangkakan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi menggunakan borang tersebut dengan pengubahsuaian bagi menguatkuasakan pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA)
“Tidak berlaku langsung kekeliruan kerana Pengampunan Bersyarat adalah jelas dan tiada ambiguiti,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Justeru, katanya, perintah mahkamah yang memasukkan kandungan khusus Pengampunan Bersyarat bagi mengarahkan pihak penjara melepaskan Najib untuk meneruskan hukuman melalui tahanan rumah tidak menimbulkan kekeliruan.
Malah, katanya, jika benar terdapat kekeliruan dalam perintah itu, mahkamah boleh membuat pembetulan melalui prinsip “slip rule” dan mengeluarkan perintah baharu pada hari sama.
“Sekiranya benar sekalipun Perintah tersebut mengundang kekeliruan, ia boleh diselesaikan dengan “slip rule”. Mahkamah boleh diberitahu tentang itu dan mahkamah boleh sahaja terus mengeluarkan Perintah baharu pada hari yang sama.
“Tidak perlu pun memfailkan apa-apa permohonan (yang hanya akan menyebabkan kelewatan pelepasan DSNR) kepada Mahkamah. Ini pandangan saya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr. Yusfarizal Yussoff


