KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkongsi tangkap layar laporan berita lima tahun lalu mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sekiranya enggan mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong.
Menerusi hantaran di media sosial, Ahmad Fadhli hanya menulis ringkas, “5 tahun lepas”, sambil berkongsi tangkap layar laporan sebuah portal berita bertajuk “Anwar: Letak jawatan jika enggan dengar titah Agong” yang diterbitkan pada 29 Jun 2021.
Laporan berkenaan memetik Anwar yang ketika itu merupakan Ketua Pembangkang sebagai berkata, Parlimen perlu bersidang sebelum tamat tempoh darurat pada 1 Ogos 2021 bagi membolehkan proklamasi serta ordinan darurat dibahaskan.
Malah, Anwar dilaporkan berpendirian bahawa Muhyiddin perlu mengundurkan diri sekiranya enggan mengendahkan perintah Yang di-Pertuan Agong.
Anwar turut mengkritik Kabinet pimpinan Muhyiddin yang disifatkannya ‘tidak berasa malu’ meskipun Seri Paduka Baginda berulang kali menzahirkan supaya Parlimen bersidang segera.
Laporan lama yang dikongsi Ahmad Fadhli itu merujuk kepada pertikaian mengenai pembukaan semula Parlimen ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan darurat pada 2021. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ahmad Fadhli


