KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Huan Cheng Guan berkata beliau dimaklumkan UMNO berjaya mengumpul lebih RM52 juta menerusi sumbangan orang ramai bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Menurutnya, kutipan itu melibatkan sumbangan serendah 50 sen, RM1, RM5, RM10, RM20, RM50, RM100 dan jumlah lebih besar daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya dimaklumkan UMNO berjaya mengumpul lebih RM52 juta, dengan sumbangan serendah 50 sen, RM1, RM5, RM10, RM20, RM50, RM100 dan seterusnya.
“Ini menunjukkan betapa kuatnya sokongan terhadap DS Najib, yang dikatakan datang daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, golongan kaya, pertengahan, malah yang kurang berkemampuan.
“Mereka mahu melihat DS Najib dibebaskan!” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Cheng Guan mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mendesak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembayaran denda RM50 juta oleh UMNO bagi pihak Najib.
Katanya, UMNO secara terbuka telah melancarkan kutipan dana daripada ahli parti dan rakyat yang mahu membantu bekas Presiden UMNO itu.
“Bila orang lain buat kutipan dana, semuanya OK. Tapi bila UMNO buat untuk membantu bekas Presiden dan bekas Perdana Menteri, tiba-tiba jadi salah? Apa punya hipokrit ni!” katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang didakwanya terlalu berdendam sehingga sanggup memutarbelitkan sesuatu isu demi kepentingan politik.
“Bayangkan kalau orang yang bermentaliti macam ni diberi kuasa! Agaknya dia nak tegakkan keadilan atau gunakan kuasa untuk kenakan orang yang dia tak suka?
“Sikap hipokrit dan penuh dendam seperti ini perlu didedahkan supaya masyarakat tahu siapa sebenarnya yang memperjuangkan keadilan dan siapa yang hanya bermain politik,” katanya.
Pemimpin DAP, Tony Pua sebelum ini menggesa BNM dan SPRM mengaudit kutipan dana Tabung Solidariti Najib Razak. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Huan Cheng Guan


