KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan jentera kerajaan telah diarahkan memperkukuh keupayaan menjangka ancaman serta menangkis serangan siber dengan pantas bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan perkhidmatan kritikal negara.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu bersedia memastikan perkhidmatan penting negara terus beroperasi sekiranya serangan siber berjaya menembusi sistem pertahanan sedia ada.
“Ketika ini, jentera Kerajaan telah diarahkan untuk memperkukuh keupayaan menjangka ancaman dan menangkis serangan dengan pantas.
“Jika serangan berjaya menembusi pertahanan, kita mesti bersedia memastikan perkhidmatan kritikal negara terus berjalan.
“Alhamdulillah, setakat ini pasukan keselamatan siber yang dianggotai anak tempatan berjaya menangkis percubaan serangan setiap hari,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau menghadiri Forum Ilmuan Madani Siri 14 yang dipengerusikannya di Bukit Kiara malam tadi, yang membincangkan soal keselamatan dan keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, dalam sesi soal jawab forum berkenaan, beliau turut menjawab pertanyaan mengenai risiko serangan siber seperti yang berlaku di Eropah serta bagaimana ancaman seumpama itu boleh menjejaskan bekalan makanan di Malaysia.
Forum tersebut turut membincangkan persediaan negara menghadapi pergolakan geopolitik berpanjangan dan risiko fenomena Super El Niño yang berpotensi menjejaskan hasil pertanian serta bekalan makanan.
Anwar turut menegaskan keperluan mempercepat pengeluaran makanan tempatan memandangkan Malaysia masih banyak bergantung kepada makanan import walaupun mempunyai tanah subur dan dikelilingi laut.
Beliau juga tertarik dengan cadangan memberi tumpuan kepada tanaman yang boleh diusahakan secara berdaya maju tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Katanya, segala pandangan dan cadangan forum itu akan dipertimbangkan secara terperinci bagi memastikan rakyat terus memperoleh bekalan makanan yang mampan dan mencukupi. – MYNEWSHUB


