PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk tahanan rumah.
Memetik laporan media, pengumuman terbaharu oleh Setiausaha Agung DAP itu dibuat pada sidang media di Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini, hari ini.
Ia merupakan kali kedua Setiausaha Agung DAP itu mengumumkan peletakan jawatan susulan keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Sebelum ini, Anthony Loke pada 29 September lalu mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar ketika itu meminta beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu.
Anthony Loke sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman.
Keputusan berundur itu dibuat selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pemberian tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.
Terdahulu, Najib dilaporkan selesai melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028. – MYNEWSHUB


