KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa pimpinan kerajaan mengambil iktibar daripada kekalahan besar Parti Republikan pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu.
Beliau mengingatkan mereka supaya keluar daripada bilik berhawa dingin dan turun padang mendengar sendiri keluhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pekerja pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Menurutnya, pemimpin dan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap sektor PMKS perlu berhenti bersikap sambil lewa serta membuktikan mereka benar-benar menjalankan amanah setimpal dengan gaji diterima.
“Mereka perlu memperjuangkan dasar konstruktif yang mampu membantu mengurangkan kos serta menjana perniagaan,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Guan Eng memberi amaran kegagalan kerajaan menangani tekanan ekonomi rakyat boleh menyebabkan pemimpin sedia ada kehilangan jawatan pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau merujuk kekalahan besar Republikan yang kehilangan penguasaan Dewan Perwakilan dan Senat kepada Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November lalu.
Menurutnya, keputusan itu membuktikan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan pengundi sekiranya rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.
Katanya, Malaysia turut menghadapi masalah ekonomi dua lapisan apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026 belum dirasai secara menyeluruh.
Beliau mendakwa ramai pengusaha PMKS masih berdepan kemerosotan perniagaan, peningkatan kos pematuhan dan cukai serta tekanan perbelanjaan harian.
“Walaupun pemimpin kerajaan kita mungkin tidak bersimpati terhadap kekalahan besar Donald Trump, kerajaan perlu diingatkan bahawa kita juga berdepan perangkap ekonomi dan nasib yang serupa sekiranya pengajaran ekonomi ini terus diabaikan,” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


