KUALA LUMPUR – Beberapa cadangan dan saranan sedang diusahakan bagi menangani isu pengusaha rumah sembelihan yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selain memperkemaskan lagi aspek pematuhan halal dalam industri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan turut menerima cadangan daripada pelbagai pihak untuk dipertimbangkan dengan mengambil kira semua aspek termasuk bidang kuasa undang-undang.
“Bagi menangani yang tidak mempunyai SPHM, beberapa cadangan dan saranan sedang diusahakan untuk memperkemaskan lagi perkara ini.
“SPHM sangat digalakkan kerana sememangnya memberikan banyak manfaat dan kebaikan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkata demikian selepas turun padang bersama pasukan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam operasi pemeriksaan mengejut di sebuah rumah sembelihan yang memiliki SPHM.
Menurutnya, pemeriksaan itu membolehkan beliau melihat sendiri pelaksanaan kawalan halal dalam aktiviti penyembelihan dan pengendalian ayam.
Terdahulu, Zulkifli menegaskan pensijilan halal bukan sekadar mempamerkan sijil atau logo, sebaliknya melibatkan proses penilaian menyeluruh.
Katanya, permohonan SPHM merangkumi pemeriksaan dokumentasi dan lapangan terhadap sumber bekalan, proses penyembelihan, pengendalian, kebersihan serta sistem kawalan halal dalaman.
Malah, pemegang sijil turut tertakluk kepada pemantauan berterusan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pengusaha rumah sembelihan mendapatkan SPHM bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian halal.
Dalam masa sama, Zulkifli memberi jaminan aduan orang awam akan diterima untuk siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan oleh JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri atau agensi berkaitan.
Tegasnya, semua tindakan akan dilaksanakan mengikut peruntukan dan lunas undang-undang. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zulkifli Hasan


