PUCHONG – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman maksimum RM5 juta yang diperuntukkan undang-undang bagi kes penipuan status halal yang terbukti.
Sekretariat PEMBELA dalam kenyataan media menegaskan, hukuman terlalu ringan hanya menjadikan kesalahan berkenaan seolah-olah ‘berbaloi’ dilakukan dari sudut perniagaan.
“Jika terbukti kilang menipu status halal, denda boleh menjangkau sehingga RM5 juta di bawah peruntukan Perihal Dagangan (Takrif Halal)
“Namun realitinya, denda dijatuhkan selalunya jauh lebih rendah (sekadar lingkungan RM10,000 hingga RM30,000) bergantung pada faktor peringan dan pengakuan bersalah,” kata kenyataan itu hari ini.
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan mengenai sebuah kilang pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong yang disyaki menggunakan kaedah kejutan elektrik.
PEMBELA turut mempersoalkan kelompongan undang-undang yang didakwanya menyukarkan tindakan penutupan kekal premis, khususnya apabila pengusaha tidak membuat sebarang dakwaan bahawa produk mereka halal.
Sehubungan itu, NGO berkenaan menggesa kerajaan meminda peruntukan berkaitan bagi memastikan pengusaha tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem penguatkuasaan..
“Jika kilang itu tidak pernah menampal logo atau mendakwa produknya halal, ia secara teknikal boleh terlepas daripada pemakaian undang-undang halal. Di sinilah letaknya kelompongan yang wajib ditutup,” katanya.
Selain itu, PEMBELA meminta mekanisme pendedahan premis yang disahkan terbabit serta pembeli terlibat perlu diwujudkan bagi melindungi hak pengguna Islam.
NGO tersebut turut meminta hak pengguna Islam dilindungi dengan berhak menuntut pampasan terhadap peniaga yang memberi maklumat palsu, termasuk restoran yang mendakwa makanannya halal. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA


