MELAKA – Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya yang kini menyertai Parti BERSAMA, Lee Chean Chung menyindir sikap segelintir wakil rakyat yang didakwanya tidak lagi lantang membangkitkan isu rasuah selepas berada dalam kerajaan, disifatkannya sebagai mengalami ‘sindrom tukar pasangan’
Beliau berkata, ketika menjadi pembangkang, wakil rakyat berkenaan begitu lantang mempersoalkan keberadaan menantu seorang pemimpin yang didakwa melarikan diri ke luar negara bagi mengelak siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Namun, katanya, kelantangan sama tidak lagi kedengaran apabila timbul isu mafia korporat, kontroversi pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM serta dakwaan membabitkan RM9.5 juta.
“Ke mana pergi suara lantang itu? Senyap. Sunyi sepi. Macam radio kereta yang bateri kong,” sindirnya menerusi hantaran media sosial.
Menurut Chean Chung, keadaan itu menggambarkan perubahan pendirian sesetengah ahli politik selepas bertukar kedudukan daripada pembangkang kepada kerajaan.
“Inilah yang saya panggil sindrom tukar pasangan. Masa jadi pembangkang, semua salah orang lain mereka nampak. Bila dah masuk kerajaan dan tukar pasangan, mata tiba-tiba jadi rabun,” katanya.
Beliau turut menyindir sikap pilih kasih dalam isu rasuah apabila kes melibatkan pihak lawan dianggap skandal, sedangkan isu membabitkan sekutu sendiri hanya dijawab dengan alasan membiarkan proses undang-undang berjalan.
Chean Chung menegaskan, prinsip memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira hubungan politik, kedudukan atau jawatan seseorang.
Beliau turut mempersoalkan keberanian wakil rakyat yang hanya lantang ketika pihak lawan berdepan kontroversi, tetapi memilih berdiam diri apabila dakwaan melibatkan sekutu politik sendiri.
“Lantang hanya bila lawan buat salah, tapi bisu bila kawan buat salah. Itu bukan keberanian. Itu lakonan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lee Chean Chung


