KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menempatkan hampir 4,000 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Cawangan Komunikasi Strategik (CKS), Markas Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, persiapan menyeluruh telah dilaksanakan merangkumi aspek keanggotaan, aset dan keupayaan operasi bagi memastikan bantuan kepada mangsa bencana dapat disalurkan dengan segera.
Menurut kenyataan itu, TDM akan menerajui pelaksanaan Operasi MURNI dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Seramai hampir 4,000 pegawai dan anggota LLP telah dipersiapkan untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi melaksanakan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan bantuan kemanusiaan,” menurut kenyataan berkenaan.
Kesiagaan tersebut turut disokong pelbagai aset mobiliti darat, perairan dan udara, selain kelengkapan kejuruteraan serta kemudahan perubatan medan.
Penggunaan aset berkenaan bertujuan memastikan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan dapat dilaksanakan dengan pantas, termasuk ke kawasan terjejas yang sukar diakses.
TDM turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara.
Kerjasama itu turut melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi memastikan setiap tindakan menyelamat, pemindahan serta pemulihan dilaksanakan secara terselaras dan sistematik.
Menurut TDM, sinergi berkenaan penting bagi memastikan keupayaan ketenteraan dimanfaatkan secara optimum dalam membantu rakyat menghadapi bencana sepanjang musim monsun. – MYNEWSHUB



