KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa Kerajaan Madani mengeluarkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dari Malaysia kerana mendakwa kehadirannya boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama.
Pemimpinnya, Ronnie Liu Tian Khiew yang juga bekas EXCO kerajaan Selangor mendakwa, tiada sebab untuk kerajaan terus membenarkan pendakwah kelahiran India itu menetap di negara ini sekiranya kehadirannya mencetuskan ketegangan dengan masyarakat Hindu Malaysia serta menjejaskan hubungan dengan kerajaan India.
“PBM menggesa Kerajaan Madani supaya menghantar Zakir Naik keluar dari negara ini dengan segera.
“Tiada sebab untuk terus mengekalkannya di sini sehingga menimbulkan permusuhan bukan sahaja dengan masyarakat Hindu Malaysia, malah kerajaan India yang menganggapnya sebagai pengganas,” dakwanya menerusi hantaran di media sosial semalam.
Ronnie Liu seterusnya mendakwa kenyataan Zakir sebelum ini yang didakwa menyentuh kepercayaan agama Hindu serta mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu Malaysia telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan komuniti berkenaan.
Beliau menegaskan masyarakat Hindu Malaysia merupakan warganegara yang mempunyai hak serta maruah sama rata dan kesetiaan mereka kepada negara tidak sepatutnya dipersoalkan oleh warga asing.
Ronnie Liu namun mengakui sebarang tindakan mengeluarkan Zakir dari Malaysia perlu mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ronnie Liu Tian Khiew


