MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira terus bersemangat meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun berdepan laporan polis berhubung dakwaan penggunaan premis dan jentera kerajaan.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Dira menggambarkan hari keempat kempen sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan mengujakan.
“Hari ke-4 berkempen, seronok dan mengujakan. Badai menguji layar, bukan menghentikan pelayaran. Calon No. 2, N.25 Rim,” tulisnya.
Hantaran itu dibuat ketika beliau berdepan kontroversi susulan laporan polis oleh Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaan penggunaan kemudahan kerajaan dalam aktiviti kempen.
Semalam, media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa Dira menggunakan premis dan jentera kerajaan ketika menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima sempena Deepavali di Kompleks Japerun Rim.
Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai alasan yang dicari pihak terdesak.
Beliau turut mempersoalkan tindakan membangkitkan isu itu memandangkan pihak lain juga mengadakan program yang dihadiri menteri dan timbalan menteri.
“Saya tidak nampak adanya permasalahan itu kerana mereka juga ada mengadakan majlis yang dihadiri timbalan menteri atau menteri mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat awal diterimanya, Dira hadir ke Kompleks Japerun Rim bagi meninjau kawasan ketika proses pengeluaran kertas undi pos berlangsung.
Menurutnya, premis berkenaan sememangnya digunakan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat. – MYNEWSHUB


