PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengembalikan kertas siasatan membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan beberapa tindakan lanjut dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurut kenyataan media AGC hari ini, pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan PDRM pada 30 Oktober lalu berhubung insiden melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Katanya, siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan susulan dakwaan Menteri Besar bahawa beliau telah menandatangani proklamasi berkaitan pertukaran kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di bawah pengaruh tidak wajar.
“Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 30 Oktober 2026 berhubung insiden yang melibatkan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh Pegawai Penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, AGC memaklumkan kertas siasatan berkenaan akan dikembalikan kepada PDRM hari ini bagi membolehkan tindakan susulan dijalankan.
“Oleh yang demikian, kertas siasatan akan dikembalikan semula kepada PDRM pada hari ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kenyataan bertarikh 3 November 2026 itu bagaimanapun tidak memperincikan tindakan tambahan yang perlu dilaksanakan pihak polis.
Setakat ini, belum ada keputusan pendakwaan diumumkan berhubung siasatan berkenaan. – MYNEWSHUB



