KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu tidak boleh memberikan syurga kepada sesiapa kerana syurga merupakan milik Allah SWT yang dijanjikan kepada mereka yang istiqamah, beramal dan berjihad menegakkan Islam.
Menurutnya, perjuangan PAS berwawasan dunia hingga akhirat bagi mencapai keredaan Allah, selain berusaha menegakkan Islam agar dimuliakan dan memerintah negara.
“PAS tidak boleh memberikan Syurga kepada sesiapa kerana Syurga ialah kepunyaan Allah yang dijanjikan kepada sesiapa yang beristiqamah, beramal, dan berjihad menegakkan Islam agar mulia dan memerintah negara,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Abdul Hadi berkata, PAS turut mengutamakan dakwah bagi menyelamatkan seramai mungkin manusia tanpa paksaan, selain mendahulukan pendekatan damai sebagaimana dianjurkan Rasulullah SAW.
Mengulas kedudukan politik, beliau berkata, PAS memahami peranannya sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang, termasuk menghayati konsep federalisme ketika mentadbir negeri mahupun menyertai kerajaan campuran.
Bagaimanapun, beliau mendakwa PAS pernah berdepan pencabulan prinsip demokrasi dan federalisme, termasuk pembatalan royalti petroleum Terengganu, penafian hak Kelantan serta kelewatan peruntukan Persekutuan.
Dakwanya, diskriminasi turut berlaku terhadap wakil rakyat pembangkang, selain sekatan kebebasan media dan urusan pentadbiran.
Namun, Abdul Hadi menegaskan PAS memilih kesabaran tanpa kekerasan bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar terhadap rakyat.
Dalam soal kerjasama politik, beliau berkata, PAS terbuka bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk bukan Islam melalui pendekatan tahaluf siyasi atau ta’awun siyasi, tertakluk kepada prinsip perjuangan parti.
Katanya, kerjasama hanya boleh berakhir apabila pihak lain melanggar dasar PAS atau menghalang pelaksanaan agenda Islam.
Beliau turut menegaskan PAS akan terus bergerak walaupun terdapat pihak meninggalkan atau mengkritik parti itu, sambil mengibaratkan kritikan berkenaan seperti anjing menyalak bukit yang tidak berganjak. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


