KUALA LUMPUR – Hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) disahkan akan terlibat dalam Program Cuti Berbayar (Paid Leave Programme) susulan langkah rasionalisasi operasi syarikat penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! itu.
Perkembangan tersebut diumumkan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd. Wahid Idris, di sebalik desas-desus mengenai kedudukan kewangan dan operasi yang dihadapi syarikat itu.
Menurut beliau, syarikat kini melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.
Katanya, perubahan landskap industri yang semakin tertumpu kepada platform digital menuntut syarikat melakukan penyesuaian, namun penerbitan akhbar bercetak tetap diteruskan untuk pembaca setianya.
“Langkah rasionalisasi ini akan melibatkan hampir 100 kakitangan dalam Program Cuti Berbayar (Paid Leave Programme),” katanya dalam satu kenyataan.
Abd. Wahid menjelaskan, program tersebut bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia serta keupayaan syarikat memperkukuh kandungan digital dan platform penyampaian berita yang lebih berkualiti serta berkesan.
Beliau namun menegaskan, langkah berkenaan tidak akan menjejaskan identiti, legasi, kredibiliti dan pendekatan editorial kedua-dua jenama akhbar tersebut.
Menurutnya, pengurusan sedia ada sebelum ini berjaya menyelamatkan Utusan Malaysia dan Kosmo! selepas pemilik terdahulu menamatkan operasi pada 2019.
Justeru, penyesuaian strategik perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sejarah sama berulang, sekali gus menjamin masa depan kedua-dua jenama berkenaan.
Dalam masa sama, Media Mulia memberi jaminan bahawa kebajikan dan hak kakitangan akan terus dipelihara mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – MYNEWSHUB


