SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kini gering akibat dijangkiti virus Influenza A sejak semalam, namun keadaan kesihatan Baginda dilaporkan beransur pulih.
Menurut kenyataan media Istana Alam Shah hari ini, gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat apabila Baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
Doktor peribadi yang merawat Baginda, Dato Setia Dr Anuar Onah dan Dato Setia Dr Tan Hui Meng memaklumkan, Sultan Sharafuddin berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai termasuk di kawasan terbuka.
Walaupun keadaan kesihatan Baginda semakin baik, Sultan Sharafuddin masih mengalami demam.
Sehubungan itu, doktor menasihatkan Baginda supaya berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis selama lima hingga tujuh hari bagi membolehkan Baginda pulih sepenuhnya.
Susulan perkembangan tersebut, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang dijadual berlangsung esok, 1 November, ditangguhkan kepada Sabtu, 7 November 2026.
Istana Alam Shah turut memohon semua pihak yang terlibat mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada Baginda,” menurut kenyataan itu. – MYNEWSHUB


