MELAKA – Kerjasama UMNO dan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bakal menjadi medan menguji formula politik yang boleh digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya kerjasama kedua-dua parti itu berjaya di Melaka, pendekatan sama boleh diteruskan pada peringkat nasional.
“Kalau kita berjaya, inilah formula yang kita akan pakai apabila berhadapan dengan Pilihan Raya Umum,” katanya ketika berucap sebelum mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin ke Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan sepatutnya sudah dilaksanakan sejak lima tahun lalu, namun tidak menjadi kenyataan.
“Sepatutnya dah lama, tapi tak jadi lima tahun lalu. Jadi kali inilah kita kena pastikan kerjasama itu dapat dilakukan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kerjasama UMNO dan PAS bukan sekadar untuk memastikan kemenangan Rais di Sungai Udang, sebaliknya membawa matlamat lebih besar dalam memperkukuh perpaduan masyarakat Melayu.
Katanya, penyatuan itu penting bagi mewujudkan kestabilan politik serta membina kesepakatan yang turut memberikan manfaat kepada semua kaum.
Beliau turut mengesahkan UMNO akan memberikan sokongan kepada calon PAS yang bertanding di DUN Paya Rumput, sebagaimana PAS menyokong calon BN di Sungai Udang.
Sementara itu, menerusi hantaran di media sosial, Mohamed Khaled berkata, rakyat Melaka mahukan kerajaan negeri yang kuat, stabil serta kesinambungan pembangunan.
Menurutnya, UMNO mempunyai pengalaman dan rekod pentadbiran dalam memenuhi hasrat berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Rais mampu menggalas amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sungai Udang.
PRN Melaka menyaksikan DUN Sungai Udang menjadi medan pertandingan tiga penjuru membabitkan Rais mewakili BN, Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada BERSATU dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman daripada parti BERSAMA. – MYNEWSHUB


