MELAKA – “Kalau tak matang, satu dunia kecam saya, takkan saya berdiri lagi kat sini.”
Demikian tegas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah ketika mengulas mengenai kematangan dirinya dalam menghadapi cabaran politik.
Beliau berkata demikian selepas proses pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini sambil mengakui telah melalui pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang penglibatannya dalam politik.
“Macam-macam dah kita lalui. Nak kata kita tak matang ke apa. Kalau tak matang, satu dunia kecam saya, takkan saya berdiri lagi kat sini,” katanya.
Mukhlis Mubin bagaimanapun tidak menafikan masih mempunyai kelemahan dan pernah melakukan kesilapan, selain mengakui dirinya masih dalam proses pembelajaran dalam dunia politik nasional.
“Kita akui, saya akui. Ada banyak kelemahan, banyak kesilapan. Masih lagi belajar, masih lagi baru dalam dunia politik nasional,” katanya.
Namun, beliau menegaskan segala kekurangan itu tidak sesekali mematahkan semangat dan iltizamnya untuk terus berbakti kepada masyarakat Kuala Linggi.
Menurutnya, sebagai anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan berkenaan, beliau mempunyai keinginan besar untuk membawa perubahan sekiranya diberikan peluang oleh pengundi.
“Kita lahir membesar di sini. Kita ada semangat dan iltizam yang kita ingin bawa. Dan berilah peluang untuk kita membawa perubahan.
“Tetapi semangat dan hati budi ini untuk berbakti di Kuala Linggi takkan boleh dinafikan,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Mukhlis Mubin turut melaungkan kata-kata semangat sebagai tanda keazamannya untuk meneruskan perjuangan dalam PRN Melaka.
“Membujur lalu, melintang patah. Pakatan Harapan!” katanya. – MYNEWSHUB


