KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan insiden cermin tingkap tren KTM Komuter Utara pecah yang tular di media sosial berpunca daripada perbuatan vandalisme apabila tren berkenaan dibaling objek tidak dikenali.
KTMB dalam kenyataan media semalam memaklumkan, kejadian melibatkan tren No. 2951 bagi laluan Padang Besar-Butterworth itu berlaku pada 29 Oktober lalu, kira-kira pukul 6 petang ketika melalui laluan antara Arau dan Kodiang.
Menurutnya, cermin tingkap di bahagian kiri koc kedua pecah selepas terkena objek yang dibaling dari luar tren.
“Sejurus menerima laporan daripada pemandu tren, KTMB mengambil tindakan segera dengan mengosongkan koc terjejas serta mengehadkan akses penumpang sebagai langkah keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Anggota Polis Bantuan KTMB turut digerakkan bagi membantu mengawal pergerakan penumpang dan memastikan keadaan terkawal.
Tren berkenaan kemudian meneruskan perjalanan pada pukul 6.21 petang selepas langkah keselamatan dilaksanakan, dengan kelewatan selama 21 minit daripada jadual asal.
Set tren terbabit ditahan di Depoh Bukit Tengah bagi pemeriksaan dan penggantian tingkap yang rosak sebelum kembali beroperasi.
KTMB turut memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak bertanggungjawab.
Syarikat itu menegaskan perbuatan membaling batu ke arah kereta api yang membahayakan keselamatan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 132 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KTMB turut memberi amaran bahawa tindakan vandalisme terhadap tren bergerak bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, malah berpotensi mengancam nyawa penumpang dan kakitangan.
Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya menyaksikan aktiviti mencurigakan berhampiran landasan kereta api. – MYNEWSHUB




