JOHOR BAHRU – Polis menyiasat kes pergaduhan yang tular di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata, kejadian itu turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 30 Oktober lalu, pukul 6.38 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu pinjaman wang antara dua pihak yang saling mengenali sehingga mencetuskan pergaduhan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun mengalami patah kaki kanan susulan insiden melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang daripada individu terlibat.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga individu tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.
Sebuah kereta jenis Proton Saga turut dirampas, manakala polis sedang giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat.
Menurut Radin Ramlan, ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang dalam menyelesaikan perselisihan faham serta mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. – MYNEWSHUB




