KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menyiasat tiga peguam mewakili keluarga Noorizwan Zulkefly yang dilaporkan mati ketika dalam tahanan dan menggesa penjelasan mengenai asas undang-undang yang digunakan.
Menurutnya, laporan media menunjukkan ketiga-tiga peguam berkenaan disoal siasat selama tiga jam susulan lawatan mereka ke unit patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz bagi mendapatkan penjelasan mengenai bukti perubatan hasil bedah siasat Noorizwan.
Beliau menegaskan, tiada kesalahan bagi peguam bertindak proaktif mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi dalam usaha mewakili kepentingan anak guam masing-masing.
“Saya tidak dapat melihat apakah kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh ketiga-tiga peguam tersebut sehingga wajar dikenakan siasatan. Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan ini boleh dilihat sebagai satu bentuk intimidasi terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan media.
Ramkarpal menyifatkan siasatan tersebut sebagai tindakan yang melampaui batas serta boleh dianggap sebagai gangguan terhadap peguam yang menjalankan tanggungjawab tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Beliau berkata, amat memalukan apabila insiden sedemikian berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Madani yang selama ini menekankan reformasi institusi dan kedaulatan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri segera menjelaskan sama ada siasatan terhadap ketiga-tiga peguam berkenaan akan diteruskan.
Katanya, sekiranya siasatan diteruskan, kerajaan perlu menyatakan peruntukan undang-undang yang menjadi asas tindakan tersebut memandangkan perkara itu melibatkan kepentingan awam. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ramkarpal Singh


