KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkongsi pengalaman ketika mula menjadi penceramah bebas selepas pulang dari Mesir apabila beliau memperuntukkan RM10 daripada bayaran ceramah sebanyak RM80 untuk diberikan kepada ibunya.
Beliau berkata, amalan itu dilakukan kerana yakin bahawa berkongsi rezeki dengan ibu, walaupun dalam jumlah kecil, mampu membawa keberkatan dalam kehidupan.
“Saya dahulu mula jadi penceramah bebas bila balik Mesir. Bila dapat duit ceramah RM80, saya bagi mak saya RM10 sebab saya meyakini berkatnya bagi duit kat mak saya.
“Kalau masjid bayar lebih sikit, saya akan tambah lagi untuk mak saya,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ahmad Fauwaz berkata, amalan berkongsi rezeki dengan ibunya diteruskan termasuk ketika beliau bekerja di Telaga Biru apabila memperoleh bonus.
Menurutnya, anak-anak yang mempunyai pendapatan seharusnya membantu ibu bapa, khususnya mereka yang tidak lagi mempunyai sumber kewangan sendiri.
Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu seorang warga emas yang memaklumkan bahawa keseluruhan keperluan hidupnya ditanggung oleh anak-anak.
Katanya, sikap sedemikian wajar dipuji dan dijadikan contoh dalam masyarakat kerana bukan sahaja membantu ibu bapa, malah mampu mengurangkan beban kerajaan serta majlis agama dalam menyalurkan bantuan.
Ahmad Fauwaz turut menceritakan kisah yang dikongsi Allamah Sheikh Ali mengenai seorang pemilik kilang bukan Islam yang menempatkan ibunya di pejabat kerana percaya kehadiran wanita itu membawa keberkatan kepada perniagaannya.
Menurutnya, kisah tersebut membuktikan bahawa amalan berbakti kepada ibu bapa merupakan nilai universal tanpa mengira agama.
Beliau turut berpandangan bahawa isu anak-anak yang culas memberikan nafkah kepada ibu bapa berpendapatan rendah perlu diberikan perhatian sebagaimana isu pengabaian nafkah terhadap isteri.
“Saya sangat menggalakkan anak-anak berilah wang kepada ibu bapa yang kita peroleh walaupun sedikit sebagai tanda membalas jasa dan jalan memperoleh keberkatan dunia dan akhirat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fauwaz Fadzil


