KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberikan maklumat salah bahawa majikan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mula menerima pelaksanaan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing.
Penasihat DAP itu berkata, hakikatnya PMKS membantah pelaksanaan caruman berkenaan serta cadangan kenaikan gaji minimum bulanan sebanyak RM300 kepada RM2,000 bagi pekerja asing sedia ada, tetapi menteri yang bertanggungjawab terhadap PMKS gagal menyampaikan keadaan sebenar kepada Perdana Menteri.
“Caruman mandatori KWSP boleh dilaksanakan kepada pekerja asing baharu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Guan Eng berkata, pelaksanaan caruman KWSP dan kenaikan gaji berkenaan tidak terkandung dalam kontrak pengambilan pekerja asing sedia ada, sekali gus menambahkan kos tidak dijangka kepada majikan.
Beliau turut memetik anggaran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pada 2025 bahawa perbelanjaan gaji pekerja asing mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Katanya, alasan bahawa pekerja asing perlu menikmati manfaat sama seperti pekerja tempatan berdasarkan prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga menimbulkan persoalan.
Beliau mempersoalkan pengecualian caruman KWSP kepada pembantu rumah asing serta tindakan Singapura menghentikan caruman CPF bagi pekerja asing sejak 1 Januari 2003.
Guan Eng berkata, beliau telah menyampaikan sendiri masalah dan rasa tidak puas hati PMKS kepada Anwar ketika pertemuan di Blok Pentadbiran Parlimen Malaysia pada Selasa, 27 Oktober lalu.
Beliau menggesa kerajaan mengutamakan kepentingan majikan tempatan dengan mengecualikan pekerja asing daripada caruman mandatori KWSP dua peratus serta kenaikan gaji minimum RM300.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan beban kewangan tambahan kepada majikan, khususnya PMKS. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


