KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pengambilan khas secara tetap bagi Pegawai Perubatan Gred UD10 untuk mengisi 750 kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengambilan fasa pertama itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan Madani untuk membabitkan lebih 9,000 Pegawai Perubatan dalam pelantikan tetap seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027.
Menurutnya, langkah itu bertujuan merapatkan jurang pengisian perjawatan serta memastikan bekalan tenaga perubatan di kedua-dua negeri berada pada tahap optimum.
“Permohonan ini terbuka kepada semua Pegawai Perubatan lantikan kontrak yang telah menjalani latihan siswazah bermula Siri 1/2016 (5 Disember 2016) sehingga Siri 6/2024 (14 Oktober 2024), termasuk pegawai yang telah tamat kontrak perkhidmatan di KKM,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, calon mestilah telah menamatkan latihan siswazah dengan jayanya serta berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) selewat-lewatnya pada tarikh tutup permohonan.
KKM memaklumkan, iklan pengambilan khas berkenaan akan dibuka selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November 2026.
Bagi pegawai yang berjaya dalam urusan pelantikan tetap itu, tarikh melapor diri dicadangkan pada 15 Februari 2027.
Sehubungan itu, KKM menyarankan semua Pegawai Perubatan yang berkelayakan, berminat dan bersedia supaya mengemukakan permohonan melalui sistem SPA9 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) apabila iklan dibuka.
“Hanya permohonan rasmi yang dikemukakan menerusi portal sistem SPA9 dalam tempoh iklan dibuka akan dipertimbangkan untuk urusan pelantikan ini,” menurut kenyataan itu. – MYNEWSHUB


