KUALA LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk enam daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan seorang Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Madani hari ini.
Memetik laporan media, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara perkara yang dipersetujui menerusi perjanjian itu adalah sokongan terhadap Belanjawan 2027 yang sedang dibahaskan di Parlimen.
Muhyiddin berkata, kerajaan turut bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat BERSATU yang terbabit dalam perjanjian itu pada kadar sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
“Saya kurang pasti. Apa yang saya dengar, jumlahnya sama seperti yang diterima Ahli Parlimen kerajaan iaitu sekitar RM3 juta hingga RM4 juta setahun,” katanya ketika ditemui pemberita.
Muhyiddin dilaporkan berkata, perkara itu ada dinyatakan dalam perjanjian dan jika terdapat perkara yang dipersetujui tidak dipatuhi, pihak terlibat boleh mengambil tindakan sewajarnya.
“Keadaan itu mungkin menyebabkan CSA yang ditandatangani terbatal,” katanya. – MYNEWSHUB


