PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan dikembalikan ke pasukan polis.
Media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, ia susulan keputusan menamatkan penempatan secara pinjamannya di agensi itu yang dibuat minggu lalu.
“Keputusan untuk mengembalikan beliau daripada penempatan secara pinjaman di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia kepada pasukan polis sudah dibuat,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Semalam media melaporkan, status perkhidmatan Mohd Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.
Keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya kemudian akan diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dipetik berkata demikian selain memaklumkan, perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.
“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun. Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MYNEWSHUB


