CEBU – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADDM) Ke-20 di Filipina.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Mohamed Khaled berkata, beliau menyambut baik komitmen berterusan AS dalam menyokong keutuhan ASEAN serta mekanisme yang diterajui ASEAN bagi menangani cabaran keselamatan serantau.
“Semoga kerjasama pertahanan Malaysia-AS terus diperkukuh, seiring dengan peranan ASEAN sebagai platform dialog dan diplomasi serantau,” katanya.
Selain Pete Hegseth, Mohamed Khaled turut bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Laos, Jeneral Khamlieng Outhakaisone serta Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi.
Beliau juga bertemu Menteri Pertahanan Republik Korea, Kang Shin-Chul, kali pertama sejak pelantikannya September lalu, membincangkan industri pertahanan dan keselamatan serantau.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menerima panggilan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid Salman susulan perbualan bulan lalu, menyatakan solidariti dan kesediaan Malaysia membantu mengikut kemampuan.
Terdahulu, Pada pembukaan ADMM ke-20 dipengerusikan Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto C. Teodoro Jr., Khaled menekankan perpaduan menghadapi ancaman bukan tradisional dan persaingan strategik, kesiapsiagaan rakyat, kerjasama tentera dan tindak balas bencana.
Beliau menegaskan pertikaian Laut China Selatan perlu diurus melalui dialog dan kepercayaan, bukan memecahbelahkan ASEAN. ADMM juga perlu memperkukuh kesiapsiagaan bersama, keselamatan rakyat dan peranan pusat ASEAN. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Khaled Nordin


