IPOH – Pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak terlepas hukuman mati selepas pertuduhan membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda kepada Seksyen 304 (b) kanun sama.
Memetik laporan media, Mohd Nazri yang sebelum ini dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mengaku salah terhadap tuduhan pindaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Berikutan pengakuan bersalah itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan bermula tarikh tangkap pada 15 Disember 2023 dan diperintah membayar wang pampasan RM50,000 kepada bapa pelajar terbabit.
Pindaan itu selepas mahkamah mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.
Mohd Nazri dituduh menyebabkan kematian kepada Muhammad Zaharif Affendi di persimpangan Jalan Taman Jati 1, Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, kira-kira jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Ketika prosiding, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, turut hadir bersama dua lagi ahli keluarga bagi memberi pernyataan impak mangsa kepada mahkamah sebelum keputusan dimuktamadkan. – MYNEWSHUB


