SHAH ALAM – Status perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.
Memetik laporan media, keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya kemudian akan diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail sebagai berkata demikian selain memaklumkan, perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.
“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun. Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, pandangan AGC diperlukan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap Mohd Shuhaily mengambil kira terma kontrak yang ditandatangani pihak berkaitan.
Beliau dipetik sebagai berkata, selepas proses perundangan di peringkat AGC dan urusan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dimuktamadkan, perkara itu akan dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan susulan.
“Bila selesai proses itu, dia akan dikembalikan kepada PDRM sebab Datuk Seri Mohd Shuhaily ini adalah salah seorang pegawai polis yang masih lagi berkhidmat,” katanya. – MYNEWSHUB


