KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegur sikap segelintir individu yang mengetahui sesuatu perbuatan itu salah, namun sanggup dipergunakan demi melaksanakan arahan pemimpin.
“Ada juga kalangan yang tahu kesalahannya, namun rela dipergunakan dan melakukan perintah serta arahan yang salah.
“Mereka yang menjadi alat kepada para pemimpin yang salah apabila melakukan arahan yang diketahui salah dan merosakkan, akan menerima balasan Allah,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Abdul Hadi berkata, alasan golongan berkenaan untuk melepaskan diri daripada kesalahan tidak akan diterima kerana mereka gagal menggunakan akal dan ilmu yang dikurniakan Allah.
Beliau turut menyifatkan golongan munafik yang menjadi ejen musuh agama antara manusia perosak paling berbahaya kerana bertindak seperti gunting dalam lipatan.
Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi mengkritik golongan berilmu yang mengikut arahan syaitan demi mengejar kesenangan hidup sehingga membiarkan nafsu mengatasi akal dan ilmu.
Menurutnya, walaupun ayat al-Quran yang dirujuk berkaitan golongan Yahudi Ahli Kitab, pengajarannya tetap menjadi iktibar kepada ulama yang khianat sepanjang zaman.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengaruh harta amat besar dalam masyarakat, termasuk dalam merosakkan akhlak dan kehidupan manusia.
Mengulas perkembangan teknologi maklumat, Abdul Hadi berkata, kemudahan tanpa sempadan kini berperanan menyebarkan kebatilan, pembohongan dan penipuan sehingga menjejaskan kefahaman masyarakat.
“Laksana ‘senjata’ berbahaya yang serba guna, sama ada untuk kebaikan ataupun kejahatan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


