BUKIT MERTAJAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, individu yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik masih belum didakwa sehingga hari ini.
Beliau membangkitkan perkara itu menerusi hantaran di media sosial selepas menghadiri prosiding sebutan kesnya di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.
“Untuk makluman, individu yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik masih lagi tidak didakwa sehingga ke hari ini,” katanya.
Muhamad Akmal berkata, kehadirannya ke mahkamah adalah bagi mengetahui keputusan permohonan representasi yang dikemukakan pasukan pembelaannya.
Bagaimanapun, selepas menunggu selama 10 bulan, beliau dimaklumkan permohonan itu ditolak dan diminta mengemukakan representasi kedua.
“Sudah lebih setahun saya dituduh di mahkamah. Namun, perbicaraan masih belum bermula dan kes ini masih melalui proses penelitian pihak peguam negara.
“Penantian ini bukanlah mudah, tetapi saya tetap menghormati proses undang-undang dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dan memberikan sokongan sepanjang menghadapi kes berkenaan.
“Insya-Allah, saya akan terus tabah menghadapi setiap dugaan. Saya hadir, saya hadapi dan saya tidak akan mengalah,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan permohonan representasi yang dikemukakan peguam Muhamad Akmal pada Disember 2025 bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya ditolak Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.
Ketua pasukan peguamnya, Aizat Azam berkata, pihaknya memohon kepada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin untuk mengemukakan representasi kedua kepada Peguam Negara.
Permohonan itu bertujuan menyampaikan fakta, pandangan serta pendapat dari sudut undang-undang berhubung kes berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


